Aliran Sains Dipandang Sepi, TVET Jadi PIlihan

Aliran Sains Dipandang Sepi, TVET Jadi PIlihan

RAMAI pelajar memilih aliran TVET termasuk mereka yang memiliki keputusan akademik cemerlang. – Gambar hiasan

24 / 01 /2024

SERING wujud persepsi retorik yang menebal dalam kalangan masyarakat bahawa pelajar yang lebih cemerlang sepatutnya memilih aliran sains semasa di tingkatan empat.

Sebaliknya, pelajar kurang pandai pula cenderung dikaitkan dengan aliran sastera atau seni.

Persepsi yang kurang bernas ini adalah realiti yang cukup menjerat mentaliti pelajar yang terikat dengan pandangan stereotaip masyarakat.

Kemudian, muncul pula usaha dilaksanakan di peringkat sekolah yang ingin secara khusus menilai prestasi pelajar berdasarkan minat dan potensi sebenar mereka.

Justeru itu, ia menuntut usaha menyeluruh pelbagai pihak dalam memberikan pendedahan, dorongan dan motivasi dalam pemilihan aliran bermula seawal tingkatan satu.

Kelonggaran dalam memilih aliran telah menyebabkan program STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) diabaikan dalam pasaran pendidikan, bahkan kajian menunjukkan penurunan ketara dalam jumlah pelajar aliran sains sejak tahun 2015.

Meninjau pendapat masyarakat di media sosial yang berbaur sinis mengenai graduan program STEM turut menggambarkan realiti sebenar dihadapi dalam dunia pekerjaan sekarang.

Graduan program STEM dikatakan sukar untuk lulus dengan cemerlang, mendapat persaingan sengit di sektor pekerjaan, tidak menjamin peluang pekerjaan, malah faktor gaji yang rendah juga dibahaskan.

Laporan Perangkaan Malaysia 2022 turut merekodkan peratus penawaran kerja tertinggi daripada program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berbanding STEM, ia mengiyakan telahan itu.

MINAT pelajar dalam aliran sains dilihat semakin berkurang disebabkan kesukaran mendapat pekerjaan. – Gambar hiasan

Berkongsi pemerhatian di sesetengah institusi pendidikan tinggi (IPT), sebahagian program aliran sastera atau seni menunjukkan peningkatan jumlah pelajar yang sangat memberangsangkan berbanding program aliran sains.

Daripada perspektif berbeza, keterbatasan peluang pekerjaan dalam program STEM telah menarik minat para graduan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) yang ditafsirkan sebagai akses kepada pasaran kerja lebih luas dan gaji lumayan.

Para bakal graduan pada saat ini ternyata cenderung mengambil langkah lebih proaktif dalam mencorak jaminan masa hadapan mereka.

Dengan dorongan ibu bapa, mereka berpeluang merencana program pilihan yang sewajarnya bersandarkan kemampuan dan minat.

Sesetengah ibu bapa juga lebih rasional dan terbuka dengan memberi kebebasan memilih asalkan ia menjamin peluang kerjaya untuk anak mereka.

Usaha secara sistematik dalam menangani penyusutan penawaran kerja untuk graduan STEM harus ditangani secara berhemah.

Perlu ada perancangan yang kukuh daripada institusi pendidikan menilai semula dasar penawaran kurikulum.

Pendedahan awal dalam pelbagai bentuk program kesedaran dilihat lebih efisien bagi menarik minat pelajar secara berkala seperti disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak dinafikan, faktor status negara maju juga menjurus kepada keperluan sumber manusia yang beraliran sains, berprestasi tinggi dan kompeten.

Oleh itu, kecenderungan memilih aliran yang betul adalah langkah strategik dalam menentukan hala tuju tenaga kerja supaya relevan dengan permintaan industri.

Powered By EmbedPress

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *