KVSkills Peringkat ETE

KVSkills Peringkat ETE

Pada 11 Mac 2024, Program Teknologi Elektrik telah menganjurkan pertandingan “KVSkills Peringkat Program Teknologi Elektrik” yang diadakan di Bengkel Pendawaian, Kolej Vokasional Sungai Buloh (KVSB). Program ini bertujuan untuk memilih wakil pelajar dalam bidang Teknologi Elektrik yang berkemahiran tinggi untuk mewakili KVSB di pertandingan KVSkill zon tengah yang akan datang.

Objektif dan Impak Program

Objektif utama pertandingan ini adalah untuk memilih wakil pelajar yang akan mewakili KVSB dalam pertandingan KVSkill zon tengah serta mengukur tahap kemahiran pelajar dalam bidang elektrik yang dipelajari di kolej vokasional. Selain itu, pertandingan ini juga bertujuan untuk membina jaringan sosial yang positif antara pensyarah Program Teknologi Elektrik KVSB. Aktiviti seperti ini membantu pensyarah untuk melatih peserta agar lebih berketrampilan dan bersedia menghadapi pertandingan peringkat yang lebih tinggi.

Aktiviti dan Pencapaian

Pertandingan bermula pada jam 9:00 pagi dengan pelajar-pelajar mula melaksanakan tugasan pendawaian elektrik. Mereka ditugaskan untuk menyelesaikan beberapa cabaran pendawaian yang menguji kefahaman dan kemahiran mereka dalam bidang tersebut. Antara tugasan yang diberikan termasuklah menarik kabel wiring, membuat pendawaian elektrik, dan memastikan pendawaian tersebut berfungsi dengan baik.

Setiap pelajar dinilai berdasarkan ketepatan dan kecekapan dalam melaksanakan tugasan mereka. Cikgu Saiful, yang merupakan salah seorang pensyarah program, telah menjalankan pemeriksaan rapi terhadap hasil kerja pelajar bagi memastikan kualiti dan keselamatan pendawaian yang dibuat.

Rumusan

Secara keseluruhannya, pertandingan ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan mendapat kerjasama yang amat baik daripada semua pensyarah dan pelajar Program Teknologi Elektrik. Dengan terlaksananya aktiviti ini, peserta yang layak untuk mewakili KVSB untuk ke pertandingan KVSkill zon tengah dapat dikenalpasti dan bakal digilap bakat serta kemahirannya. Diharapkan peserta yang telah terpilih dapat melaksanakan tugasan yang diberikan dengan baik dan membawa kejayaan kepada Kolej Vokasional Sungai Buloh.


Laporan disediakan oleh:

NUR FATIN IZATIL BINTI GHAZALI
Jurulatih KVSkill