Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) bagi Bidang IT Network System Administration (ITNSA) Tahun 2024 – Peringkat Pra Kelayakan
Pada tanggal 14 Mei 2024, seramai tujuh orang pelajar dari Jabatan Teknologi Maklumat memulakan perjalanan mereka ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) untuk menyertai pertandingan peringkat pra-kelayakan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dalam bidang IT Network System Administration (ITNSA). Mereka disertai oleh empat orang pensyarah yang bertindak sebagai pengurus, jurulatih, dan pembimbing, iaitu Pn. Ilham Karimi binti Mat Rof, Pn. Nur Diyana binti Mohd Shukri, Pn. Farah Afiqah binti Borhannudin, dan Pn. Masyiviranis binti Mohd Zain.
Pertandingan ini berlangsung selama empat hari, bermula dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari. Hari pertama dimulakan dengan mesyuarat penyelarasan bersama sekretariat dan panel akreditasi. Selepas itu, para peserta diberikan taklimat oleh pihak penganjur mengenai latar belakang dan program-program yang terlibat. Lawatan ke kemudahan seperti perpustakaan, makmal komputer, dan bengkel turut diadakan untuk memberi gambaran jelas tentang lokasi pertandingan.
Pada hari kedua dan ketiga, para pelajar mula menunjukkan kehebatan mereka dalam bidang ITNSA. Mereka diberi tugasan yang mencabar, yang memerlukan mereka mengenalpasti dan menyelesaikan masalah secara kreatif, inovatif, dan efektif. Semangat persaingan yang sihat jelas terpancar, dengan setiap pelajar berusaha menjadi yang terbaik.
Pada hari keempat, pertandingan diakhiri dengan sesi perjumpaan Majlis Perwakilan Pelajar bersama panel akreditasi. Ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga bagi para pelajar kerana mereka dapat merasai suasana pertandingan sebenar dan meningkatkan keyakinan diri. Melalui pertandingan ini, pelajar juga dapat meningkatkan semangat kerjasama dan komitmen profesional, etika, serta tanggungjawab dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.
Pertandingan ini diadakan dengan tujuan memantapkan pengetahuan dan kemahiran pelajar Kolej Vokasional untuk membolehkan mereka dihantar menyertai Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) bagi bidang IT Network System Administration (ITNSA) di peringkat kebangsaan. Impak positif daripada pertandingan ini jelas terlihat apabila para pelajar menunjukkan peningkatan dalam pelbagai aspek, termasuk keyakinan, kerjasama, dan komitmen profesional.
Dengan berakhirnya pertandingan ini, jelas terbukti bahawa objektif yang ditetapkan telah berjaya dicapai. Pelajar-pelajar Kolej Vokasional Sungai Buloh kini lebih bersedia dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran dunia teknologi yang semakin berkembang pesat.
Laporan disediakan oleh:
Ilham Karimi binti Mat Rof
Pensyarah Teknologi Maklumat