Setapak, 19 – 20 Ogos 2024 – Jabatan Teknologi Awam – Program Teknologi Pembinaan telah menyertai Pertandingan KVSkills Peringkat Zon Tengah 2024 dalam bidang Kemahiran Wall & Floor Tiling yang diadakan di Kolej Vokasional Setapak. Pertandingan ini dianjurkan oleh BPLTV dan melibatkan pelajar serta pensyarah dari pelbagai institusi, berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang.
Objektif Program
Pertandingan ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, memantapkan kemahiran praktikal, dan mengasah potensi pelajar dalam bidang Teknologi Pembinaan. Melalui pertandingan ini, peserta berpeluang mempelajari dan mengaplikasikan pelbagai teknik dalam menyelesaikan tugasan dengan kreatif, inovatif, dan efektif. Program ini juga mencungkil bakat baru, membina keyakinan diri, dan membentuk personaliti yang berdaya saing, fokus, dan berkomitmen tinggi.
Pencapaian Peserta
Peserta dari Program Teknologi Pembinaan berjaya meraih tempat ke-3 dan ke-4 dalam pertandingan ini. Kejayaan ini menunjukkan kemahiran dan ketekunan pelajar dalam bidang pemasangan jubin, serta kemampuan mereka menguasai aspek teknikal dalam pertandingan bertaraf tinggi.
Impak Program
- Pertandingan ini berjaya membantu peserta memahami sistem penilaian, menguasai kemahiran praktikal seperti menterjemah pelan, mengendalikan bahan, kelengkapan, serta teknik pemasangan jubin termasuk kerja akhir seperti grouting.
- Program ini juga membina keyakinan diri peserta melalui latihan intensif dan persediaan mental serta fizikal sebelum, semasa, dan selepas pertandingan.
- Pertandingan ini berjaya menonjolkan bakat peserta dan mempersiapkan mereka dengan kemahiran penting dalam menyusun strategi untuk pertandingan yang lebih besar.
Rumusan Program
Secara keseluruhan, usaha yang dilakukan dalam menjayakan pertandingan ini berjaya menyumbang kepada pencapaian objektif dan matlamat utama. Melalui pertandingan ini, pengiktirafan bakat dan kepakaran pelajar berjaya melahirkan tenaga kerja mahir yang berupaya memacu industri berteknologi ke tahap yang setara dengan negara-negara maju, sekaligus mempromosikan pelajar Kolej Vokasional sebagai individu berprestasi unggul.
Disediakan oleh: Nor Hazwin Solehah Bt Abdul Halim
Penyelaras Pertandingan Kemahiran, Program Teknologi Pembinaan