Majlis Penyerahan Bangunan Baharu di Kolej Vokasional Sungai Buloh

Majlis Penyerahan Bangunan Baharu di Kolej Vokasional Sungai Buloh

Pada 2 Oktober 2024, Kolej Vokasional Sungai Buloh telah mengadakan satu majlis istimewa bagi penyerahan bangunan baharu yang dibina untuk Program Teknologi Automotif. Majlis tersebut diadakan di Bilik Tutorial bangunan baharu pada pukul 9.30 pagi dan dihadiri oleh tetamu jemputan serta wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia.

Penyerahan bangunan telah disempurnakan oleh En. Mohamed bin Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan, Cawangan Pembangunan, Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam majlis tersebut, beliau telah menyerahkan sijil CPC kepada pihak kontraktor sebagai tanda selesainya pembinaan. Selain itu, replika kunci juga telah diserahkan oleh pihak kontraktor kepada Kementerian Pendidikan, dan seterusnya kepada pihak Kolej Vokasional Sungai Buloh.

Majlis ini turut diserikan dengan beberapa ucapan termasuk daripada Pengarah Kolej Vokasional Sungai Buloh, serta tayangan montaj dan persembahan slaid mengenai projek bangunan baharu ini. Selepas sesi bergambar, majlis berakhir dengan jamuan ringan untuk para tetamu dan jemputan.

Bangunan baharu ini diharapkan dapat memperkukuh kemudahan pembelajaran dan memberi manfaat kepada pelajar-pelajar dalam bidang Teknologi Automotif, sekaligus menyokong usaha Kolej Vokasional Sungai Buloh dalam menyediakan pendidikan teknikal dan vokasional berkualiti tinggi.