Laporan Lawatan Penanda Aras SMK Al Munawwarah Cilacap ke Kolej Vokasional Sungai Buloh

Laporan Lawatan Penanda Aras SMK Al Munawwarah Cilacap ke Kolej Vokasional Sungai Buloh

Pada 26 Jun 2024, Kolej Vokasional Sungai Buloh telah menerima kunjungan delegasi dari SMK Al Munawwarah, Cilacap, Indonesia, dalam satu program lawatan penanda aras yang dianjurkan oleh Unit Perhubungan Awam (UPA) Kolej Vokasional Sungai Buloh. Lawatan ini berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari di Bengkel Pemesinan Industri.

Objektif lawatan ini adalah untuk membina kerjasama antara kedua-dua institusi dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar dan institusi, serta meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pentadbiran melalui pertukaran idea, pengalaman, kreativiti, dan inovasi dalam pelbagai bidang. Selain itu, ia juga bertujuan untuk membina jaringan kerjasama dalam program pertukaran tenaga pengajar dan pelajar antara Kolej Vokasional Sungai Buloh dan SMK Al Munawwarah.

Sepanjang lawatan, delegasi dari SMK Al Munawwarah diberikan taklimat mengenai program pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di Kolej Vokasional Sungai Buloh, terutamanya dalam bidang Teknologi Pemesinan Industri. Mereka juga dibawa melawat kemudahan bengkel pemesinan untuk melihat sendiri amalan terbaik dalam bidang pendidikan vokasional di Malaysia.

Program ini juga membuka peluang kepada kedua-dua institusi untuk bertukar-tukar idea mengenai pendekatan pengajaran, pengurusan, serta pembangunan kemahiran pelajar, sekaligus memberi manfaat kepada warga institusi dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti pendidikan.

Impak daripada lawatan ini amat signifikan di mana ia telah memberikan pendedahan yang luas kepada kedua-dua pihak mengenai strategi pendidikan yang berkesan serta peluang untuk meneroka potensi kerjasama dalam pelbagai bidang. Unit Perhubungan Awam Kolej Vokasional Sungai Buloh merasakan bahawa komitmen daripada pensyarah yang terlibat harus dijadikan contoh dan teladan dalam usaha memacu kecemerlangan TVET di masa hadapan.

Rumusan:
Lawatan Penanda Aras SMK Al Munawwarah ini telah berjaya mencapai objektifnya. Pertukaran idea dan pengalaman antara kedua-dua institusi ini akan membantu meningkatkan kemenjadian pelajar dan keberkesanan pengurusan di Kolej Vokasional Sungai Buloh. Cadangan yang diperoleh daripada lawatan ini juga akan menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan serta program pertukaran pelajar dan tenaga pengajar yang lebih berkesan.

Nama Pelapor:
Ummu Afiqah binti Mohd Hilmin
Setiausaha Teknologi Pemesinan Industri