Kuala Lumpur, 11 Oktober 2024 – Kolej Vokasional Sungai Buloh (KVSB) telah menyertai Pameran Sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Exhibition Hall 7A, Tingkat 3, International GreenTech & Eco Products Exhibition And Conference Malaysia (IGEM) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 2 petang ini dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Pameran ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai peranan Protokol Montreal dalam melindungi lapisan ozon serta impaknya dalam menangani perubahan iklim. KVSB diwakili oleh 2 pensyarah dan 4 orang pelajar yang terlibat secara aktif dalam persiapan dan pelaksanaan pameran ini.
Dalam pameran tersebut, pelajar KVSB mempamerkan maklumat mengenai kepentingan lapisan ozon dalam kehidupan harian serta kesan perubahan iklim kepada alam sekitar. Selain itu, lawatan daripada pelbagai pihak termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memberikan pendedahan yang lebih luas mengenai usaha KVSB dalam mempromosikan kesedaran alam sekitar di kalangan generasi muda.
Pensyarah dan pelajar turut berkesempatan bergambar bersama YB Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebagai tanda sokongan terhadap usaha pemuliharaan lapisan ozon.
Program ini telah memberikan impak positif kepada para pelajar dan pensyarah yang terlibat, di mana mereka telah mempelajari kepentingan lapisan ozon dan langkah-langkah perlindungan yang diperlukan dalam menangani isu perubahan iklim. Melalui program ini, pelajar dan pensyarah KVSB turut mendapat peluang untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat serta meningkatkan kesedaran mereka tentang isu-isu global yang kritikal.
Disediakan oleh:
Siti Hajar Binti Abu Bakar
AJK Pengurusan Pameran dan Promosi
Kolej Vokasional Sungai Buloh